Friday, 9 December 2011

Mari Contohi Sahabat Nabi, Abdul Rahman ‘Auf Tokoh..

Sama-sama kita renungkan kisah seorang sahabat nabi ini yang sungguh kaya tetapi merendah diri. KETIKA hayatnya, Abdul Rahman ?Auf sering menyedekahkan sebahagian besar harta kekayaannya untuk jihad fisabilillah. Oleh itu umat Islam digalakkan mencontohi sifat mulia beliau supaya mendapat keredaan Allah. Hartawan Islam mantapkan jaringan sosial, ekonomi penduduk Madinah dengan hartanya

KEBANYAKAN konglomerat Madinah sepanjang sejarah permulaan Islam berasal dari kota Makkah atau yang disebut sebagai Muhajirin, orang yang berhijrah sebagai saudara kepada penduduk asal Madinah yang disebut Ansar. Antara mereka ialah Khalifah Othman bin ‘Affan, al-Zubeir bin ‘Awwam, al-Abbas bin Abdul Mutallib dan Abdul Rahman bin ‘Auf..

Apabila kita mengira jumlah harta kekayaan mereka, kita akan berasa takjub dan terkesima sehingga akan banyak pertanyaan dalam minda kita. Kita akan lebih takjub dan tercengang apabila kita perhatikan sepak terajang mereka dalam menafkahkan harta mereka di jalan Allah demi untuk mendapatkan keredaan Allah SWT.
Kekayaan yang melimpah ruah yang dimiliki kaum Muhajir itu adalah bukti kebenaran ayat al-Quran yang bermaksud: “Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur.” (Surah al-Nisa: 100)

Mereka dalam kesempitan hidup ketika berada di Makkah demi perjuangan membela Islam dan mereka kemudian menemukan tempat hijrah yang sesuai sehingga boleh mengumpulkan rezeki yang banyak lalu sempat mensyukurinya. Abdul Rahman bin ‘Auf adalah satu contoh Muhajir yang berjaya.

Abdul Rahman bin Auf membangunkan jaringan sosial dan ekonomi yang kukuh di Madinah sehingga dengan kekayaannya yang luar biasa boleh menstabilkan perekonomian Madinah demi kepentingan penduduknya.

Ketika beliau meninggal dunia, antara harta warisnya ialah 1,000 unta (RM3 juta), 100 kuda (RM1 juta), 3,000 kambing (RM900,000), beliau mempunyai empat isteri dan masing-masing mendapatkan pembahagian khusus 80,000 dinar (RM 40.8 juta). Beliau memerdekakan sejumlah besar budak-budak yang dimilikinya. Kemudian diwasiatkannya supaya memberikan 400 dinar (RM204,000) kepada masing-masing bekas pejuang Perang Badar. Mereka berjumlah 100 orang, dan semua mengambil bahagiannya masing-masing (RM20.4 juta). Subhanallah.

Di samping itu masih ada peninggalannya berupa emas dan perak, yang jika beliau membahagikannya kepada ahli warisnya dengan mengapak, maka potongannya cukup menjadikan seorang ahli warisnya menjadi kaya raya.

Beliau juga berwasiat supaya memberikan hartanya yang paling mulia untuk Ummahat al-Mukminin, Aisyah ra sering mendoakannya: “Semoga Allah memberikannya minum dengan minuman dari telaga salsabil.”

Beliau pernah menyedekahkan hartanya untuk kepentingan jihad sebanyak 40,000 dinar (RM20.4 juta), menyerahkan 500 kuda (RM5 juta) dan 1,500 unta (RM4.5 juta) kepada pejuang. Daripada buku yang mengisahkan kepahlawanan sahabat Rasulullah yang ditulis oleh Abdul Rahman Ra’fat Basya kita memperoleh susuk Abdul Rahman bin ‘Auf yang menakjubkan dan perlu diteladani umat Islam.

Beliau termasuk lapan orang yang mula-mula masuk Islam; beliau juga termasuk 10 orang yang diberikan khabar gembira oleh Rasulullah masuk syurga; beliau termasuk enam sahabat yang bermusyawarah dalam pemilihan khalifah sesudah Umar bin Khattab RA; dan beliau adalah seorang mufti yang dipercayai Rasulullah SAW untuk berfatwa di Madinah ketika Baginda masih hidup di tengah-tengah masyarakat Islam.

Namanya pada masa Jahiliah ialah Abd Amr. Setelah masuk Islam Rasulullah menggantikannya dengan Abdul Rahman bin Auf. Beliau memeluk agama Islam sebelum Rasulullah SAW masuk ke rumah al-Arqam, iaitu dua hari sesudah Abu Bakar al-Siddiq memeluk Islam.

Dalam proses hijrah ke Madinah di mana Rasulullah mempersaudarakan kaum Muhajir dan kaum Ansar, Abdul Rahman bin Auf dipersaudarakan dengan Sa’ad bin Rabi’ al- Anshari RA. Pada suatu hari Sa’ad berkata kepada Abdul Rahman: “Wahai saudaraku Abdul Rahman. Aku termasuk orang kaya di antara penduduk Madinah. Hartaku banyak. Saya mempunyai dua bidang kebun yang luas, dan dua isteri. Pilihlah olehmu salah satu di antara kedua-dua kebun itu, kuberikan kepadamu mana yang kamu sukai. Begitu pula salah seorang di antara kedua-dua isteriku akan kuserahkan mana yang kamu sukai, kemudian aku nikahkan engkau dengan dia.” Jawab Abdul Rahman bin Auf: “Semoga Allah melimpahkan berkat-Nya kepadamu, kepada keluargamu, dan kepada hartamu. Saya hanya akan minta tolong kepadamu untuk menunjukkan di mana letaknya pasar Madinah ini.”

Sa’ad menunjukkan pasar tempat berjual beli kepada Abdul Rahman. Maka, mulailah beliau berniaga di sana, berjual beli, melaba dan merugi. Belum berapa lama dia berdagang, terkumpullah wangnya sekadar cukup untuk mahar menikah. Dia datang kepada Rasulullah memakai wangi-wangian. Baginda menyambut kedatangan Abdul Rahman seraya bersabda yang bermaksud: “Alangkah wanginya kamu, hai Abdul Rahman.” Jawab Abdul Rahman: “Saya hendak menikah wahai Rasulullah.” Tanya Rasulullah: “Apa mahar yang kamu berikan kepada isterimu?” Jawab Abdul Rahman: “Emas seberat biji kurma.” Kata Rasulullah: “Adakan kenduri, walau hanya dengan menyembelih seekor kambing. Semoga Allah memberkati pernikahanmu dan hartamu.” Kata Abdul Rahman: “Sejak itu dunia datang menghadap kepadaku (hidupku makmur dan bahagia). Hingga seandainya aku angkat sebuah batu, maka di bawahnya aku dapati emas dan perak.”

Begitulah doa Rasulullah SAW untuk Abdul Rahman sehingga perniagaannya selalu meningkat dan berkembang. Kabilah dagangnya terus-menerus hilir mudik ke Madinah mengangkut gandum, tepung, minyak, pakaian, barang-barang pecah-belah, wangi-wangian dan segala keperluan penduduk.

Pada suatu hari iring-iringan kabilah dagang Abdul Rahman terdiri daripada tujuh ratus unta bermuatan penuh tiba di Madinah. Semua membawa makanan, pakaian dan barangan lain keperluan penduduk. Ketika mereka memasuki kota, bumi seolah-olah bergetar. Terdengar suara gemuruh dan hiruk-pikuk. Sehingga Aisyah bertanya, “Suara apa hiruk-pikuk itu?” Dijawab orang: “Kalifah Abdul Rahman dengan iring-iringan tujuh ratus unta bermuatan penuh membawa makanan, pakaian dan lain-lain.” Kata Aisyah: “Semoga Allah melimpahkan berkat-Nya bagi Abdul Rahman dengan baktinya di dunia, serta pahala yang besar di akhirat. Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Abdul Rahman bin Auf masuk syurga dengan merangkak (kerana syurga sudah dekat sekali kepadanya).”

Sebelum menghentikan iring-iringan unta, seorang pembawa berita mengatakan kepada Abdul Rahman bin Auf berita gembira yang disampaikan Aisyah, bahawa Abdul Rahman bin Auf masuk syurga. Serentak mendengar berita itu, bagaikan terbang dia menemui Aisyah. Katanya: “Wahai ibu, apakah ibu mendengar sendiri ucapan itu diucapkan Rasulullah?” Jawab Aisyah: “Ya, saya mendengar sendiri.” Abdul Rahman melonjak bahagia. Katanya: “Seandainya aku sanggup, aku akan memasukinya sambil berjalan. Sudilah ibu menyaksikan, kabilah ini dengan seluruh kenderaan dan muatannya, kuserahkan untuk jihad fisabilillah.”

Cuba kita bayangkan, seandainya ada 700 kontena yang berisi penuh keperluan memasuki Kuala Lumpur sudah tentu akan membuat heboh penduduknya dan yang akan membuat lebih heboh lagi ialah semuanya berserta isinya disedekahkan kepada penduduk Kuala Lumpur. Nah, siapa yang sanggup mencontohi susuk Hijrah kita yang satu ini? Selamat Tahun Baru Hijrah 1433.

~Sumber dari www.bharian.com.my

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...