Friday, 7 October 2011

Mengapa Emas Mahal?

Biasanya sesuatu barang menjadi mahal kerana ianya sedikit ataupun ianya mempunyai banyak kelebihan. Emas memiliki kedua-dua ciri tersebut. Tidak seperti logam lain, kuantiti emas di seluruh dunia adalah amat sedikit.
    
Dianggarkan sekiranya keseluruhan emas yang pernah dikeluarkan dari perut bumi di seluruh dunia dikumpulkan, ianya sekadar membentuk sebongkah kiub tinggi 18 meter sebesar setengah gelanggang tenis sahaja.


Emas amat susah untuk dijumpai di dunia ini. Saya ambil contoh di tempat yang paling banyak di temui emas sekalipun iaitu di Afrika Selatan, setiap satu tan bijih yang dilombong, hanya sekitar lapan hingga 10 auns emas sahaja dapat dihasilkan. Anda boleh bayang betapa susah untuk memproses emas?

                                      Perlombongan Emas di Tanzania

Selain daripada permintaan yang tinggi terhadap emas, banyak lagi faktor lain yang saya akan huraikan kemudian. Antaranya, suasana politik seluruh dunia, perubahan polisi negara besar, bencana alam, masalah politik dan banyak lagi. Ini merupakan sebahagian daripada faktor yang mempengaruhi harga emas, namun kadangkala anda lihat perubahan faktor - faktor di atas hanya memberikan sedikit sahaja kesan terhadap harga emas. Apa yang membuatkan harga emas mahal?
    
Yang membuatkan harga emas mahal di pandangan mata anda ialah INFLASI. Inflasi berkait rapat dengan matawang. Maksud mudah inflasi bagi kebanyakan orang adalah kenaikan harga barang. Namun adalah maksud yang lain di sebalik inflasi ini. Sebelum itu, mari kita fahamkan konsep wang kertas yang kita gunakan hari ini yang dikenali sebagai wang fiat.
    
Kebanyakan daripada kita pada hari ini menggunakan wang kertas (wang fiat) dalam urusan jual beli seharian. Pernah anda bayangkan bagaimana wang ini datang ke tangan anda? bagaimana ianya dicipta? Wang fiat bermaksud wang yang hanya mempunyai nilai muka (face value), tetapi tidak mempunyai nilai intrinsik. Nilai intrinsik bermaksud nilai sebenar sesuatu benda. Nilai muka pula bermaksud nilai yang tertera pada wang kertas itu. Ianya adalah nilai yang "diarah bagi digunakan" oleh undang - undang sesebuah negara.
    
Pada hakikatnya, kertas wang itu sendiri tidak mempunyai apa-apa nilai. Sekiranya ada pun, mungkin nilainya amat sedikit kerana ianya hanya kertas. Ianya seumpama sekeping cek. Apabila sekeping cek ditulis dengan nama kita dan ditulis juga jumlah yang hendak diberikan kepada kita, cek itu menjadi bernilai kepada kita. Tuan punya cek itu mempunyai kuasa untuk mengarahkan pembayaran itu dibuat kepada kita. Sekiranya cek itu jatuh ke tangan orang lain, ia tidak mempunyai apa-apa nilai kepada orang itu kerana cek itu hanya dimaksudkan kepada kita sahaja.
    
Begitulah dengan wang kertas, ianya tidak laku sekiranya digunakan di negara luar. Namun persoalannya, bagaimanakah penggunaan wang kertas dapat menyebabkan inflasi dan seterusnya meningkatkan harga barangan emas? Jawapannya terletak kepada sistem bagaimana wang itu dicipta seperti mana telah saya huraikan dalam artikel "Sejarah Duit"..

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...